Anda dah lihat pada senarai blog yang menang anugerah MSMW2016 tak?
Dah jenguk satu persatu? Nampak apa yang menarik berkaitan blog tersebut
tak? Kalau belum baik anda pergi tengok .. mungkin ada sesuatu yang
boleh dipelajari. Paling penting adalah anda lihat bagaimana blog
tersebut menjenamakan 'dirinya' dalam dunia media sosial Malaysia.
Saya
nak berikan sedikit tips untuk penjenamaan blog ni. Bukannya tip hebat
mana pun, tetapi asasnya ada, in Sha Allah untuk memudahkan blog
dikenali dan mendapat tempat sepatutnya.
Tips Penjenamaan Blog
Berikan Nama Blog Unik Dan Mudah Diingati
Berikan nama blog yang mudah untuk orang ingat. Jika nama blog susah untuk diingati oleh anda sendiri .. jadi memang bermasalah...haha. Benda ni asas, sebelum anda membuat blog sudah fikirkan mengenai nama blog yang sesuai dengan diri dan tema blog anda. Jangan terlalu panjang sehingga sukar nak eja. Paling bagus ialah nama online anda, untuk sebuah blog peribadi.
Kalau nak unik, boleh sesuaikan dengan ejaan. Tetapi jangan rumit sehingga membuatkan orang sering terkeliru atau tersasul. Contohnya Amanz, boleh berkaitan teknologi yang gunakan nama ... ejaan nama ditambah z, memberikan kesan bahawa ada sentuhan nilai teknologi di situ.
Penggunaan Warna dan Latar Blog
Blog perlu ada warna dan latar yang mencerminkan tema sesebuah blog. Contohnya blog makanan, atau blog yang paparkan kisah makan atau review restoran; latar mungkin boleh letakkan gambar garfu atau sudu, cawan pinggan mangkuk. Nak lebih baik, gunakan corak warna sama, atau yang setaraf.
Ada blog yang menggunakan warna garang yang mudah untuk diingati. Kalau boleh warna yang jarang digunakan oleh mana-mana entiti online. Apabila orang sebut blog warna biru, orang akan ingat blog sekian-sekian. Begitulah yang telah saya buat untuk blog hasrulhassan.com, mempopularkannya dengan warna oren.
Header Blog Mencerminkan Identiti
Cuba rekacipta atau hasilkan sebuah header blog yang nampak mesra. Mesra pada pandangan mata pengunjung - iaitu tidak terlalu sarat, dan mudah untuk orang ingat. Selalunya blogger akan meletakkan gambar sendiri sebagai header, ia sangat bagus dan berkesan untuk sebuah blog keluarga atau blog peribadi. Tetapi, jika blog anda menceritakan soal gajet .. adalah tidak wajar meletakkan gambar anak sebagai header blog.
Contohnya untuk sebuah blog pelancongan, apa yang saya syorkan ialah letakkan gambar tempat pelancongan yang menarik. Untuk seimbangkan jenama, letakkan logo atau wajah anda. Gambar tempat pelancongan yang anda pernah pegi jua boleh dijadikan header yang bagus.
Logo
Ramai blogger Malaysia yang tidak mewujudkan logo sendiri untuk blog. Logo ini boleh anda gunakan sebagai wakil diri dan juga blog. Buat satu logo ringkas dan letakkan dalam blog. Gunakan logo ini di serata media sosial yang ada kaitan dengan blog anda.
Logo juga boleh dijadikan avatar. Logo juga boleh diletakkan dalam kad nama seorang blogger. Logo juga boleh dipaparkan menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter dan juga Instagram. Anda boleh gunakan logo ini untuk membuat baju sendiri atau aksesori yang boleh memberikan impak kepada jenama blog anda.
Penggunaan Ayat
Kadangkala lengok ayat juga boleh dijadikan sumber untuk mempertingkatkan jenama blog. Penggunaan ayat seperti dalam tagline, dalam hashtag, dalam kategori blog, dalam label blog boleh memberikan impak yang bagus agar blog mudah dikenali.
Tagline adalah salah satu cara mudah penggunaan ayat untuk penjenamaan. Anda gunakan tagline ini dalam apa juga perkara berkaitan blog. Seperti saya katakan tadi, boleh jadikan ia satu perkaitan dengan jenama blog anda, contohnya apabila saya tweet di laman twitter saya, saya akan gunakan hashtag #panduanblogger #rujukanblogger #pakarseomalaysia sebagai cara untuk membolehkan orang mengenali blog saya sebagai apa yang saya hashtag kan. Faham kan?
Cari perkataan unik yang boleh berikan impak, dan jadikan ia pembawa jenama kepada blog anda. Contoh seperti DUH ... KIPIDAP.... WALLAWEIH. Gunakan perkataan ini sekerap yang boleh ketika menghasilkan entri, hatta apabila komen blog orang lain. Lama kelamaan, orang akan kaitkan sesuatu perkataan itu dengan blog anda.
Cuma pastikan perkataan baik sahaja digunakan. :)
Orait, itu serba sedikit tips penjenamaan blog yang boleh anda ikuti. In Sha Allah, jika diamalkan dengan betul, akan berikan kesan positif dan melangsungkan blog anda dikenali dengan mudah.
Selamat mencuba.